Migraine ialah sejenis penyakit kepala yang kronik. Mangsa migrain selalunya tidak mampu menjalankan tugas seharian, malah ada yang tidak boleh makan, minum dan hanya menghabiskan masa di bilik tidur. Kira-kira 12 peratus daripada golongan dewasa di negara ini menghidap migrain dan sebahagian besar daripada mangsa adalah wanita yang masih didatangi haid. Apabila mengalami migrain, pesakit biasanya mengalami sakit kepala yang teruk. Punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui sehingga kini.
Migrain terbahagi kepada dua jenis iaitu migrain yang wujud bersama aura dan migrain tanpa aura. Aura ialah perasaan ataupun fenomena yang subjektif dialami individu sebelum mendapat serangan penyakit. Pesakit migrain dengan aura mengalami pelbagai gejala seperti pandangan menjadi kabur dan nampak garisan seperti zig-zag ataupun gelombang seperti situasi yang dialami apabila berada di tengah jalan dalam cuaca panas terik. Kadangkala, penglihatan pesakit juga terhalang dan keadaan menjadi lebih teruk apabila pesakit tidak dapat melihat buat sementara waktu. Keadaan ini dikenali sebagai skotoma. Pesakit juga ada kalanya mengalami kebas sebelah tangan ataupun lemah anggota badan, terutama kaki dan tangan. Aura selalunya berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga satu jam. Pesakit kadangkala mendapat migrain selepas satu hari mengalami aura. Bagaimanapun, ada juga pesakit yang tidak mengalami aura dan terus mendapat migrain.
Antara gejala lain migraine adalah seperti :
- Loya dan muntah-muntah. Kira-kira 70 peratus pesakit berasa loya dan sebahagian daripadanya muntah-muntah.
- Penglihatan pesakit menjadi begitu sensitif. Contohnya, mereka mengadu sakit mata apabila melihat cahaya. Keadaan itu dikenali sebagai fotofobia.
- Pendengaran turut menjadi sensitif dan keadaan itu dikenali sebagai fonofobia. Dalam keadaan ini, pesakit mendengar lebih kuat dan jelas setiap bunyi di sekelilingnya walaupun ia perlahan.
- Kemerah-merahan pada kulit, pada keliling mata ataupun dahi.
- Badan berpeluh.
- Pesakit terasa persekitaran mereka bergerak-gerak seperti menaiki bot, mabuk laut ataupun vertigo.
- Bercakap dengan suara perlahan. Pesakit tidak bercakap kuat kerana ia lebih menyakitkan.
- Pitam dan boleh menyebabkan pesakit mengalami kecederaan anggota badan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan